Sunday 27 September 2015

Makhluk yang bernama P E R P I S A H A N :')

2002. Masih terngiang-ngiang di kotak mindaku pengalaman si budak mentah menghabiskan perjalanan sebagai budak sekolah rendah dengan penuh kegembiraan dan kebanggaan tatkala menghabiskan peperiksaan UPSR. Budak mentah yang tidak menyedari hakikat bahawa di hadapannya terlalu banyak lagi onak duri kecewa tumbang sakit yang perlu dihadapi. Hari terakhir di sekolah rendah ibarat hari terakhir menghabiskan perjuangan hidup sedangkan fizikalnya baru sahaja beralih ke alam akil baligh. Namun, jujurku katakan sesungguhnya aku rasai perpisahan itu, petang selepas tamatnya kelas terakhir d sk.pasir putih, hati ini seolah-olah dapat merasai perpisahan yang bakal di hadapi. Jiwa si budak mentah yang pada mulanya tidak merasai dan memahami erti perpisahan ini mulai bergelora memikirkan hidup tanpa sahabatnya disisi. Petang itu, 6 bersahabat pergi ke suatu tempat yang memang selalui dikunjungi. Disitu kami laungkan, keluarkan dan sematkan perasaan yang terpendam selama ini. Masih ku ingat, aku laungkan nama miss F. AKU CINTA PADAMU.. !! (monyet). usai ke enam2 sahabat itu meleraikan perasaan yang terpendam selepas lebih kurang 6 tahun persahabatan pulanglah mereka ke rumah masing2 tanpa menyedari bahawa kemungkinan petang itulah hari dan saat  terakhir mereka bersua muka.


2007. 5 tahun kemudian, perpisahan yang digembar-gemburkan kian terasa. Muka yang sudah biasaku lihat sepanjang berada disekolah menengah ini,  bakal ku tinggalkan sedikit masa lagi. Si budak mentah yang dulu pendek kini menjadi sedikit tinggi telah pun bersedia menghadapi hari-hari perpisahan itu. Masihku ingat hari terakhir berada disekolah,  sahabatku melemparkan telur dikepala yang besar ini. Dalam hatiku, (uina macik  sakit gila tu), sebab yang mengumban tu macam macik2. Tapi dialah yang mengiburkan kelas sains masa itu. Dialah penyeri kehidupan dan dialah mungkin yang paling dirindui. Petang itu, ku nukilkan nama dan tandatanganku di baju setiap sahabatku. Mungkin nukilan inilah yang terakhir dapatku coretkan dalam hidup sahabat seperjuangan. Perpisahan yang ku rasakan pada tahun 2002 lalu kembali menghantui jiwa ini meskipun ianya sudah 5 tahun berlalu . Sukar untuk ku gambarkan perasaan yang timbul pada waktu itu. Saat kaki melangkah ke luar dari sekolah pada petang itu.  sempatku lambaikan tangan kepada tiap-tiap wajah yang pernah hadir dalam kisah hidup ini…

2015. 8 tahun kemudian. Di usia 25 tahun ini, sekali lagi ku di datangi makhluk yang bernama ‘perpisahan’. Tetapi kali ini, tiada lagi si budak mentah. Yang ada kini ialah si bakal pendidik bangsa. Namun, siapalah si pendidik bangsa itu bila didatangi makhluk ‘perpisahan’ yang cukup melemahkan jiwa dan raga. 5 tahun bersama 20 karakter yang sungguh berbeza, 5 tahun dihiasi dengan tawa,kecewa,suka dan duka bersama. 5 tahun berkongsi makan dan minum. 5 tahun berkongsi cinta dan cerita. Kali ini perpisahanku diikuti dengan linangan air mata. Bukan mudah air mata ini jatuh, namun kerana lubuk hati yang paling dalam dapat merasakan sakitnya perpisahan kali ini meskipun ia cuba untuk kuat,  namun tertewas jua. Maka jatuhlah ia… sukar untuk ku gambarkan wajah-wajah yang selalu ku lihat bakal lenyap dari pandangan mata. Sukar untuk ku bayangkan suara-suara yang sering kali ku dengar bakal hilang dari telinga…namun siapalah yang mampu melawan si makhluk yang bernama ‘perpisahan’. Macam mana erat kita genggam akan terlerai jua, macam mana kuat ditahan terlepas juga. Macam mana kita coba untuk elak bertemu juga…dan…. Macam mana gembiranya kita bertemu akan berpisah jua.


Resam hidup manusia, yang mula pasti berakhir, yang bertemu pasti berpisah dan yang patah tumbuh hilang berganti. Hakikatnya hidup harus diteruskan, masih banyak yang perlu di tempuhi si pendidik bangsa ini. Masih terlalu jauh untuk hati ini meratapi perpisahan kali ini. kerana di hadapan menjanjikan banyak lagi kisah baru, banyak lagi karakter baru, banyak lagi ragam baru dan banyak lagi perpisahan baru. biarlah kisah kita menjadi sejarah di hari tua, sampaikanlah pada angin kisah dulu kala yang pernah menjadi suka duka, tunjukkanlah pada awan indahnya cerita kita bersama dan beritahulah bulan juga bintang untuk menjadi bukti bahawa aku,dia dan kamu pernah menjadi satu dalam kisah itu…. 

No comments:

Post a Comment